Struktur Gigi

Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir
( BSc, DDS, MSD, MPH, DrPH )

Bagi anda yang gemar mengambil makanan bergula, perlu lebih berhati-hati kerana kandungan gula dalam makanan itu menjadi punca utama kerosakan gigi. Ia juga menyebabkan gusi anda bengkak dan mulut berbau busuk.

Sebelum membincangkan bagaimana kerosakan itu terjadi, anda perlu mengetahui pembahagian setiap batang gigi.

Gigi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu korona, leher dan akar. Korona ialah bahagian yang mudah dilihat apabila anda membuka mulut. Leher dan akar gigi tertanam dalam gusi dan tulang rahang.

Struktur binaan gigi terdiri daripada bahagian berikut:

Enamel -
ialah lapisan gigi yang paling keras; terletak di lapisan luar sekali dan berwarna putih atau kekuningan.

Dentina -
terletak di bawah lapisan enamel dan selalunya lebih lembut dan berwarna kekuningan.

Pulpa -
tisu ini terletak paling tengah sekali dan mengandungi urat saraf dan saluran darah yang membawa makanan untuk gigi.

Simentum -
lapisan nipis inilah yang mengelilingi akar gigi kita.

Gigi tidak boleh tegak tanpa sokongan bahagian berikut:

Gusi -
ialah tisu lembut yang mengelilingi leher gigi.

Tulang alveolus -
ialah tulang rahang yang menyokong akar gigi.

Membran Periodontium -
ialah jaringan serat yang menyokong simentum ke tulang alveolus.

Setelah memahami struktur gigi, kita akan membincangkan pembentukan karies gigi. Karies terjadi daripada plak gigi. Plak ialah makanan yang melekat di celah gigi. Ia mengandungi kuman. Kuman itu akan bertindak balas dengan gula yang terdapat dalam makanan yang terselit di celah dan menghasilkan asid. Asid itu akan mrnyebabkan permukaan gigi menjadi lembut dan akhirnya gigi anda berlubang. Keadaan itu dipanggil karies gigi.
Gigi anda akan dicabut jika pembentukan karies gigi itu agak besar. Keadaan karies gigi yang serius boleh menyebabkan anda kehilangan gigi itu.

Sekiranya serangan karies gigi masih ditahap awal iaitu hanya melibatkan bahagian enamel ia masih boleh diselamatkan. Serangan karies gigi dianggap serius apabila ia merebak ke bahagian dentina. Pada tahap itu anda akan terasa sakit kerana ia hampir ke lapisan pulpa yang mengandungi banyak urat saraf yang sensitif.

Jika masih tidak mahu mendapat rawatan daripada doktor gigi, karies gigi itu akan merebak ke saluran pulpa. Ini akan menyebabkan gusi anda bengkak dan bernanah.

Walaupun terdapat kaedah rawatan khas yang dinamakan rawatan endodontik tetapi seringkali kaedah itu gagal menyelamatkan gigi anda. Gigi anda terpaksa dicabut. Anda bertanggungjawab kepada kesihatan gigi.
Anda boleh mengelakkan pembentukan karies gigi dengan mengurangkan makanan yang mengandungi gula. Selain itu, bersihkan gigi setiap kali selepas makan dengan memberus gigi atau sekurang-kurangnya dengan berkumur-kumur. Ini untuk mengelakkan makanan daripada melekat di celah gigi.
 
 
About MDA
What's New
Affiliate Bodies
SCODOS
Dental Students Centre
Public Free Access
 
 
MDA Member
 
Services
MALAYSIAN DENTAL ASSOCIATION
54-2 (2nd Floor) Medan Setia 2
Plaza Damansara, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur
Tel: 603-20951532, 20951495
Fax: 603-20944670
Website: www.mda.org.my
Email: mdaassoca@mda.org.my (active 10/12/2013)

facebaook twitter

Copyrights by Malaysian Dental Association.