Kerjaya Bidang Pergigian

Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir
( BSc, DDS, MSD, MPH, DrPH )

Tahukah adik bahawa negara kita amat ketandusan doktor gigi? Setakat ini kita hanya mempunyai sekitar 1 800 doktor gigi di seluruh negara.

Ini bermakna seorang doktor gigi terpaksa merawat sekitar 13 000 orang pesakit. Ramai daripada doktor gigi bekerja di klinik kerajaan tetapi ada juga sebahagian yang membuka perniagaan mereka sendiri. Tetapi tidak kira di mana mereka berada, kewajipan mereka ialah untuk membantu meredakan keluhan pesakit sebaik mungkin.

Untuk menjadi doktor pergigian adik mesti rajin dan gigih belajar. Pelajaran sains amat penting untuk kita hayati. Matematik juga sama pentingnya.

Oleh kerana kita juga adalah masyarakat majmuk maka kita juga perlu mempelajari tentang adat resam setiap bangsa dan agama di negara ini.

Di negara kita ini terdapat hanya dua buah universiti yang menawarkan kursus ijazah di bidang pergigian iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Di UM kursus itu mula ditawarkan sejak 1972 dan kini telah menghasilkan seramai 1 100 orang doktor gigi sementara di UKM pula baru dimulakan pada tahun 1997.

Di Fakulti Pergigian adik akan dilatih dalam pelbagai disiplin yang amat menarik seperti mengenai rangka dan tulang manusia, pertumbuhan gigi dan rahang.

Adik juga akan mempelajari bagaimana membancuh ubat-ubatan, jenis rawatan yang boleh diberikan dan pelbagai macam jenis logam dan bahan tampalan yang digunakan.

Tugas doktor gigi sebenarnya bukan sekadar mencabut dan menampal gigi sahaja. Kerjaya itu menawarkan pelbagai bidang kepakaran yang boleh adik ceburi.

Setelah lulus dan menerima ijazah sebagai doktor pergigian am, adik boleh menyambung belajar selama dua atau tiga tahun dalam kepakaran tertentu seperti berikut:
a.
Pakar Ortodonti yang banyak membantu memperbaiki rupa bentuk dan fungsi
rahang dan gigi kita.
b.
Pakar Bedah Pergigian untuk merawat mereka yang mengalami penyakit teruk
seperti kanser mulut dan seumpamanya.
c.
Pakar Kesihatan Pergigian Awam membantu mengawal penyakit pergigian
yang berleluasa.
d.
Pakar Pergigian Kanak-kanak yang banyak membantu memulihkan keadaan
kesihatan pergigian kanak-kanak.
e.
Pakar Periodontologi membantu memulihkan mereka yang mengidap penyakit
gusi dan periodontium.
f.
Pakar Patologi Mulut pula banyak bertugas dalam makmal untuk memeriksa dan
mengenal pasti jenis penyakit merbahaya dengan tepat.
g.
Pakar Pemeliharaan Gigi pula akan mengetahui semua jenis rawatan tampalan
yang mutakhir yang boleh diberikan kepada pesakitnya. Jika datuk dan nenek
kita tiada gigi, maka
h.
Pakar Prostetik pula akan diminta untuk merawat mereka.
i.
Pakar Pergigian Forensik yang banyak membantu mengenalpasti identiti mayat yang sudah rentung oleh kebakaran atau pun reput dan seumpamanya. Untuk menjadi seorang doktor pergigian awam atau pun pakar pergigian adik mesti bercita-cita untuk lulus dengan cemerlang dalam semua peperiksaan di sekolah rendah dan menengah bermula dengan peperiksaan UPSR. Semua orang boleh mencapai cita-citanya jika dia belajar dengan rajin dan banyak bersabar.
 
 
About MDA
What's New
Affiliate Bodies
SCODOS
Dental Students Centre
Public Free Access
 
 
MDA Member
 
Services
MALAYSIAN DENTAL ASSOCIATION
54-2 (2nd Floor) Medan Setia 2
Plaza Damansara, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur
Tel: 603-20951532, 20951495
Fax: 603-20944670
Website: www.mda.org.my
Email: mdaassoca@mda.org.my (active 10/12/2013)

facebaook twitter

Copyrights by Malaysian Dental Association.